Blog is a collection of answers that people don't want to hear, to the questions they didn't ask. - Sebastyne Young

Pemuda yang tidak lut godaan nafsu


Diriwayatkan daripada 'Uqbah bin 'Amir, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah Azzawajalla 'kagum'dengan pemuda yang tidak terdapat kecenderungan menuruti hawa nafsu pada dirinya." (Riwayat Ahmad)

Hadis ini merupakan salah satu daripada sabda Rasulullah yang menyebut kekaguman Allah s.w.t terhadap sebilangan hamba-Nya. Perlu diingatkan bahawa Allah sama sekali tidak menyerupai mana-mana makhluk ciptaan-Nya. Oleh sebab itu, tafsiran "kagum" dalam hadis ini perlu difahami dengan jelas agar kita tidak menyamakan Allah dengan makhluk ciptaan-Nya.

Jika salah seorang daripada kita kagum terhadap sesuatu perkara, dia digambarkan sebagai dia tidak pernah mengetahuinya dan berasa sangat takjub dengannya. Ia disebabkan kejadian itu sangat hebat sehingga  membuatkan dia teruja ketika melihatnya, lalu menimbulkan perasaan gembira dalam diri sendiri.

Berlainan dengan sifat "kagum" dalam hadis ini, ia tidak layak disandarkan kepada Zat Allah. Maha Suci Allah daripada bersifat dengan peribadi hamba-Nya. Maka, tafsiran yang layak bagi hadis ini ialah, Allah suka kepada seorang pemuda yang menjaga dirinya daripada mengikut kehendak hawa nafsu, lalu Dia akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang besar kepadanya.

Muda Masa Berharga
Waktu muda ialah waktu yang sangat sesuai untuk membentuk peribadi seseorang. Benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika buluh telah besar dan menjadi keras, tidak ada guna apabila ia hendak dilentur pada waktu itu.

Begitu juga dengan diri insan. Usia muda merupakan waktu terbaik untuk mempelajari sesuatu. Sebab itulah remaja kini suka mencuba sesuatu yang baru dan kadang-kadang ia berlaku di luar batasan akal fikiran manusia biasa. Ketika ini, jiwa mereka mudah memberontak dan tidak begitu memikirkan akibat daripada tindakan yang mereka lakukan. Hanya pegangan agama yang kuat sahaja dapat membentuk peribadinya ke arah akhlak mulia acuan Rasulullah.

Satu hadis Baginda ada menyebut bahawa salah satu golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak ialah pemuda yang membesar dalam keadaan taat kepada Allah. Sejak usia muda, dia telah diasuh supaya mentaati Allah dalam kehidupan harian, sehinggalah kelaziman ini tetap diteruskan apabila dia semakin membesar.

Tetapi, kenapa Baginda hanya mengkhususkan golongan pemuda? Bukankah ramai orang dewasa dan lanjut usia sentiasa dilihat berada di masjid dan surau berbanding anak muda? Ini kerana masa muda adalah suatu tempoh masa yang menunjukkan penguasaan nafsu dalam diri.

Oleh sebab itu, sesiapa sahaja yang dapat mengalahkan nafsu dan cenderung ke arah kebaikan, dialah orang yang memiliki kekentalan takwa dalam diri. Inilah masa yang sangat mencabar bagi seseorang untuk menghadapi konflik antara iman dengan nafsu. Sebab itulah Baginda mengkhususkan golongan pemuda agar mereka sedar dan bersemangat untuk membentuk peribadi berlandaskan ajaran al-Quran dan sunnah. Mengapa? Kerana golongan pemudalah pencorak masa depan sesebuah masyarakat.

Jangan Sia-siakannya
Rasulullah sangat mengambil berat terhadap golongan pemuda. Dalam beberapa keadaan, Baginga memilih mereka sebagai pemimpin dalam peperangan. Ia pernah berlaku kepada Usamah bin Zaid yang menjadi panglima perang ketika berusia 18 tahun, sedangkan pada waktu itu masih ramai sahabat yang lebih senior daripadanya ada  bersama. Begitulah besarnya peranan golongan pemuda sejak zaman Baginda lagi.

Rasulullah pernah berpesan kepada seorang lelaki supaya merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Salah satunya ialah usia muda sebelum datangnya usia tua. Jika diteliti, sangat banyak perkara yang boleh dilakukan ketika masih muda dan bertenaga, berbanding ketika tubuh badan beransur-ansur menjadi lemah dimamah usia.

Ayuh, rebutlah masa mudamu dengan menuntut ilmu selagi akal ini masih sihat dan kuat! Ilmu yang dipelajari hari ini pasti akan tersimpan hingga hari tua. Benarlah kata pepatah arab: "Menuntut ilmu pada waktu muda sama seperti ukiran yang dibentuk di atas batu, sedangkan menuntut ilmu pada waktu tua seperti ukiran yang dibentuk di atas air."

0 comments:

Powered by Blogger.